MIRI, 1 Mei: Pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengenai penubuhan bank komersial untuk Sarawak dilihat akan dapat memudahkan lagi perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, melalui bank komersial tersebut usahawan PKS tidak perlu lagi menunggu permohonan pinjaman untuk jumlah tertentu dari ibu pejabat bank di Kuala Lumpur yang kadang mengambil masa yang lama.
“Premier Sarawak telah memberitahu kita dalam masa yang terdekat ini, InsyaAllah mudah-mudahan dapat direalisasikan tahun ini. Beliau merancang untuk mewujudkan bank komersial untuk kita di Sarawak. Kalau ini dapat dilaksanakan, ia sudah tentu akan memberi banyak bantuan dan kemudahan untuk kita kembangkan PKS kita.
“Sekarang ini kalau kita nak memohon pinjaman, kadang-kadang ada jumlah tertentu terpaksa menunggu keputusan Kuala Lumpur (bank) yang bukan mudah. Kadang dia mengambil masa yang panjang di ibu pejabat KL. Maklumlah kita jauh. Jadi kalau kita ada bank komersial kita sendiri, mudah untuk kita membantu PKS kita,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri di Piasau Boat Club di sini, hari ini.
Penubuhan bank komersial ini dilihat akan membantu PKS seperti mana Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) yang menyediakan pembiayaan alternatif untuk memudahkan para usahawan mendapatkan pinjaman dari bank.
Majlis turut menyaksikan Sesi Penyerahan Surat Kelulusan Peruntukan Lot Kediaman di Kampung Lusut, Lambir, Miri kepada lapan orang penerima yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Pujut Corner pada 23 April lepas.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Ripin Lamat, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang dan Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri. – TVS