KUCHING, 30 April: Langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan bank komersialnya sendiri merupakan satu keputusan yang cukup baik berdasarkan pandangan pakar ekonomi.
Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak, sekali gus mempelbagaikan hasil negeri ini.
“Perkhidmatan wang boleh disediakan kepada rakyat tempatan tanpa pertimbangan keuntungan semata-mata. Saya juga berharap perkhidmatan ini dapat mengurangkan masalah sosial yang melibatkan kes pinjaman wang dari ‘Ah Long’ dan sebagainya.
“Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kewujudan bank ini amat penting dalam menyokong kelangsungan hidup mereka ketika keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong hari ini, berkata, Kerajaan Sarawak bakal menubuhkan bank komersialnya sendiri.
Baca artikel berkaitan >>>>> Sarawak bakal tubuh bank komersial sendiri
“Adakalanya di peringkat negeri menyokong namun peringkat ibu pejabat tidak menyokong keputusan dalam kelulusan pinjaman.
“Hakikatnya, yang lebih mengetahui keadaan dan masalah rakyat Sarawak hanyalah rakyat Sarawak itu sendiri. Adalah lebih baik keputusan dibuat oleh rakyat Sarawak sendiri,” katanya. – TVS