“Perjalanan (mereka) panjang dari Khartoum ambil masa 30 jam lebih 1,300 kilometer… dengan pelbagai halangan dan cubaan, akhirnya hari ini dapat sampai dengan selamat di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya kepada media selepas menyambut ketibaan 30 rakyat Malaysia itu di lapangan terbang berkenaan hari ini.
Zambry berkata meskipun Ops Sudan telah selesai, Wisma Putra masih mengikuti perkembangan yang berlaku di Sudan secara dekat.
“Jika ada rakyat Malaysia yang masih ada di Sudan, pihak keluarga diminta maklumkan kepada Wisma Putra untuk kita bantu cari mereka. Saya nasihatkan rakyat Malaysia yang ingin lawat Sudan untuk tangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih,” katanya.
Beliau berkata pejabat Kedutaan Malaysia di Sudan ditutup sementara dan segala urusan berkaitan akan dikendalikan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah.
Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,500 cedera ekoran konflik bersenjata antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang tercetus pada 15 April lepas.
Pada 25 April lepas, dilaporkan 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, selamat tiba di Pelabuhan Sudan pada 2.07 petang Isnin waktu Sudan (8.07 malam waktu Malaysia) setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer.
Dilaporkan terdapat 32 rakyat Malaysia berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan pada 21 April lepas, dua rakyat Malaysia telah dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Dua rakyat Malaysia itu merupakan individu yang berkhidmat dengan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak PBB.
Zambry berkata kejayaan membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berdaftar itu adalah hasil usaha bersama semua pihak termasuk keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hubungan baik Tuanku (Al Sultan Abdullah) dan Presiden UAE (Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan) beri natijah baik (dalam proses) keluarkan rakyat Malaysia.
“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau yang turut ikuti setiap perkembangan dan ambil langkah untuk pastikan operasi dapat dibuat sebaiknya termasuk hubungi pemimpin terlibat dalam pertikaian,” katanya.
Zambry turut merakamkan penghargaan kepada UAE dan Arab Saudi kerana membantu dalam urusan mengeluarkan kesemua 30 rakyat Malaysia dari Sudan.
Beliau berkata pihak Malaysia turut membantu mengeluarkan beberapa rakyat negara lain dari Sudan antaranya Amerika Syarikat, Kemboja dan Singapura, selain warga Palestin, Filipina dan Thailand yang turut tiba di KLIA hari ini bersama 30 rakyat Malaysia. -TVS