KANOWIT, 26 April: Lapan sekeluarga di Sungai Sah di sini, hilang tempat berteduh setelah kediaman yang dibina dengan bantuan rumah e-Kasih dua tahun lalu musnah dalam kebakaran petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, kejadian jam 5 petang itu melibatkan lapan sekeluarga terdiri daripada sepasang suami isteri masing-masing berusia 40 dan 35 tahun serta lima orang anak berusia antara 17 tahun hingga tujuh bulan.
Menurutnya, kesemua mangsa tidak berada di rumah semasa kejadian susulan mereka pergi menziarahi rumah keluarga yang lain di Kampung Hilir di Sibu pada sekitar empat jam sebelum kejadian.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang, pasukan anggota bomba dengan kekuatan sembilan orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowti bergegas ke lokasi.”
“Setiba di lokasi ketua operasi membuat penilaian ‘size up’ seterusnya mengarahkan pasukan pemadam bertindak membuat permadaman menggunakan teknik secara ‘offensive’ dengan pasukan pemadam membentangkan dua aliran dua pancutan 200 kaki sumber air terbuka air parit berdekatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba pada jam 6.30 petang.
“Seterusnya, anggota bomba bertindak membuat kerja kerja ‘overhaul’ dan setelah memastikan api benar-benar dipadamkan sepenuhnya serta memastikan tiada lagi punca-punca nyalaan api, pasukan bomba bertolak balik ke balai pada jam 6.55 petang,” katanya.
Kebakaran jelasnya mengakibatkan rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 20 kali 40 kaki persegi tersebut musnah 100 peratus.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” tambah Arrahman. -TVS