KUCHING, 26 Apr: Pesta Babulang dan Lumba Kerbau menjadi antara acara yang bakal menyerikan sambutan Perayaan Sarawak 60 Tahun Merdeka pada 2 hingga 4 Jun ini.
Presiden Persatuan Bisaya Sarawak, Joseph Blandoi berkata penganjuran Pesta Babulang akan menarik pengunjung dari negara jiran sekali gus membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan di Limbang.
“Ekoran pembukaan sempadan, pesta kali ini dijangka akan menarik pengunjung dari negara dan negeri jiran. Pada tahun lalu, sungguh pun sempadan masih ditutup, seramai lebih 7,000 pengunjung menghadiri pesta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara program yang turut disenaraikan untuk pesta itu termasuk Nakod Babulang (menyambut tetamu kehormat Babulang), Lumba Kerbau, Rakit Berhias dan Pertandingan Panglima Babulang.
Selain itu, katanya pertandingan Ratu Babulang, Puan Kebaya, serta pertandingan gendang dan tarian juga akan diadakan.
Dalam pada itu, Joseph meyakini penganjuran pesta yang menampilkan pelbagai acara menarik ini akan mencerminkan budaya dan tradisi etnik Bisaya kepada orang ramai.
“Sebagai sebuah masyarakat tebingan sungai, rakit misalnya pada masa dahulu adalah salah satu pengangkutan utama orang Bisaya pada waktu keramaian. Rombongan akan menaiki rakit yang dihias menyusuri sungai, diiringi gendang tanggunggu, nyanyian tradisional dan gesekan biola,” katanya.
Bersempena dengan sambutan mega itu, tema Pesta Babulang pada tahun ini ialah 60 Tahun Sarawak Merdeka: Babulang Kita. -TVS