MIRI, 25 April: Musim kemarau dijangka akan berlaku antara bulan Mei hingga September menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, sebagai langkah persiapan untuk musim kemarau yang akan datang, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (DDMC) telah melakukan mesyuarat bersama-sama agensi terlibat dan bertanggungjawab.
Pihak DDMC katanya telah mendapatkan kerjasama dengan tujuh pemilik tanah di Miri untuk melakukan persiapan bersama memandangkan kebakaran sebelum ini berlaku di kawasan mereka.
“Kita mengadakan mesyuarat ini untuk berbincang dan membuat persiapan untuk menghadapi musim kemarau akan datang. Mengikut keadaan cuaca, hujan akan berkurangan dalam bulan Mei sehingga September. Kita telah memanggil tujuh pemilik tanah besar di Miri. Mereka telah memberi taklimat tentang persiapan untuk dibuat. Kita berasa berpuas hati dengan persiapan yang mereka lakukan kerana mereka mempunyai pasukan pemadam kebakaran sendiri, penggunaan jentera malah salah seorang pemilik tanah ada dron untuk memantau tanah sendiri. Itu sangat penting kerana kebanyakan kebakaran yang berlaku di Miri sebelum ini semuanya di kawasan ini,” katanya demikian semasa sidang media DDMC di Pejabat Residen Miri di sini, hari ini.
Antara pemilik tanah yang disebut ialah Shin Yang, Pantai Bayu, Woodman, Curtin, Naim, Miri Housing dan Miri North City Development.
Pada masa yang sama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar menyediakan tiga dron untuk pantauan dan rondaan harian di kawasan Miri bersama pihak bomba kerana Miri seringkali mengalami masalah kebakaran dan jerebu pada musim kemarau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, pihak mereka akan memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air dalam musim kemarau untuk rakyat terutamanya bagi kawasan yang terjejas.
“Saya rasa kita juga memberi perhatian serius terhadap bekalan air. Kita sudah mempunyai tiga belas kampung di Telang Usan yang meminta bekalan air. Kita mempunyai Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bersiap sedia dengan lori tangki air di kawasan-kawasan yang memerlukan air bersih untuk minum, memasak dan sebagainya.
“Pegawai residen kita telah menubuhkan pusat penyelarasan dengan semua pegawai daerah di bahagian Miri untuk menyelaras terutamanya dari segi bekalan air. Kita juga mempunyai pelan kontingensi mengenai situasi bekalan air di Miri,” katanya lagi.
Penduduk Miri juga dinasihatkan untuk minum banyak air sekitar lapan hingga 10 cawan air sehari dan mengurangkan aktiviti luar serta sentiasa membasahi muka setelah pulang dari aktivit luar bagi menjaga kesihatan terutamanya dalam musim kemarau sekarang.
Golongan berisiko yang perlu berjaga-jaga untuk kesihatan ialah mereka yang mempunyai pekerjaan luar seperti polis, bomba dan petani, orang dewasa berumur 40 tahun ke atas, mempunyai masalah pernafasan seperti asma dan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. – TVS