KUCHING, 25 April: Proses mendapatkan koleksi foto lama antara cabaran besar dalam usaha menyiapkan buku Riwayat Leluhur Catatan Salasilah Keluarga Abang Junaidi dan Hasbiah.
Menurut penulisnya, Abang Asri Abang Ariffin buku yang mengisahkan susur-galur keluarganya itu telah dicetak sebanyak 200 naskah selepas penilaian akhir dibuat.
Ia termasuk melengkapkan foto lama serta maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga terdahulu yang masih hidup dalam tempoh empat bulan.
“Apa yang boleh saya katakan, cabaran utama penghasilan buku ini adalah melibatkan foto-foto lama. Untuk bahan lisan, artikel tidak begitu sukar untuk mendapatkannya kerana ada ahli keluarga yang masih hidup dapat berkongsi.
“Disebabkan itu juga kita membukukan catatan salasilah keluarga Abang Junaidi sementara waris yang tua-tua masih ada bersama-sama dengan kami,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran buku tersebut pada Perhimpunan Keluarga Haji Abang Junaidi 2023 di Dewan Cats FM di sini, pada Isnin.
Jelas Asri, ahli keluarga besarnya telah memberikan kerjasama yang baik dengan merakam dan berkongsi fakta serta maklumat mengenai keluarga masing-masing.
“Ambik masa dalam empat bulan untuk menghasilkannya kerana kita minta kerjasama dari setiap keluarga-keluarga besar untuk mereka merakamkan apa-apa fakta mengenai keluarga mereka.
“Jadi dengan cara itu kita dapat maklumat yang lebih tepat berbanding kita tulis sendiri sesuka hati. Ini sejarah daripada anak-anak dan cucu-cucu mereka sendiri. Jadi, kita dapat maklumat yang lebih jelas,” katanya.
Dalam pada itu, Asri memberitahu setakat ini buku yang ditulis bersama Dayang Kartini Abang Ibrahim dan Dayang Hanani Abang Ibrahim itu telah terjual lebih 100 naskah yang tidak hanya dibeli oleh ahli keluarga tetapi orang luar.
“Kita pada awalnya hanya menyasarkan pembeli dalam kalangan ahli keluarga Abang Junaidi sahaja tetapi sebelum buku ini dilancarkan ia juga sudah mendapat sambutan orang luar dan laris kira-kira 100 naskah.
“Untuk keluaran pertama ini kita hanya mencetak 200 naskah buku sahaja, tetapi sekiranya ada permintaan selepas ini kita akan mencetaknya semula.
“Kita juga tidak mempunyai promosi besar-besaran dan hanya menggunakan media sosial sahaja, kita maklumkan mengenai buku ini dan seterusnya melancarkan,” katanya.
Buku tersebut katanya turut diserahkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi satu kunjungan hormat pada 23 April lalu sebagai cenderahati.
Untuk rekod, majlis pelancaran buku tersebut juga disempurnakan oleh Abang Ibrahim Abang Junaidi pada Perhimpunan Keluarga dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Keluarga Allahyarham Abang Junaidi dan Hasbiah di Dewan Cats FM.-TVS