KUCHING, 25 April: Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia (WTF) Azizul Annuar Adenan sedia mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan yang dijadualkan pada Julai depan.
Azizul yang juga Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak menyandang jawatan itu bagi sesi 2018-2020.
Jelasnya, setakat ini tugas tersebut masih digalas sehingga kini biarpun tempoh sah laku kepimpinan badan induk itu sepatutnya telah tamat.
“Disebabkan COVID-19, kita tidak dapat mengadakan mesyuarat agung WTF, jadi kita akan mengadakan mesyuarat pada Julai ini.
“Tetapi kita lihat sama ada saya akan bertanding untuk jawatan itu kelak, saya sedia untuk mempertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem di Santubong pada Isnin.
Pelantikan Azizul bagi sesi 2018-2020 menjadikan beliau sebagai anak Sarawak pertama menyandang kerusi nombor satu badan induk Taekwondo nasional itu.
Azizul sebelum itu menggantikan Senator Dato Sri SA Vigneswaran yang mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan 2018-2020.-TVS