KUCHING, 23 April: Sarawak memiliki dasar pendidikan yang selari dengan kehendak pembangunan yang sedang berlaku di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Sarawak sekarang melangkah ke ekonomi baharu yang memerlukan ilmu-ilmu baharu khusus ke arah kelestarian alam sekitar dan juga keadaan iklim yang berubah ketika ini.
“Saya yakin dengan ekosistem yang baik, Sarawak akan maju ke hadapan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Adilfitri 2023 untuk hari ke-2, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mengiktiraf rancangan Kerajaan Sarawak yang disifatkan sebagai lebih maju ke hadapan.
“Beliau kata agak maju ke hadapan daripada negeri-negeri lain. Ini adalah disebabkan oleh dasar-dasar kita, pertamanya dari sudut ekonomi digital dan sekarang kita beralih kepada prasarana infrastruktur khasnya projek SAWAS dan SARES di mana kita menggunakan tenaga solar untuk rumah panjang dan kampung-kampung pedalaman,” ujarnya.
Abang Johari yakin dasar yang dimiliki Sarawak adalah cukup baik untuk generasi yang akan datang.
“Sempena sambutan Syawal tahun ini, Kerajaan Sarawak berazam untuk terus mempertahankan kemakmuran yang ada di negeri ini,” katanya. – TVS