JAKARTA, 23 April: Sekurang-kurangnya 36 rumah tebing dan bot kayu di sungai Keladan, wilayah Tapin, Kalimantan Selatan roboh dilanggar dua kapal tongkang arang petang semalam.
Kejadian berlaku ketika angin kencang yang menyebabkan tongkang berkenaan dibawa aliran arus sungai yang deras.
Menurut Ketua Kampung Keladan, Muhammad Faleh, kesemua rumah yang roboh merupakan milik warga tempatan yang menyebabkan ramai panik akibat kejadian itu.
“Ketika kejadian angin kencang berlaku mengakibatkan dua tongkang yang sedang ditambat putus tali, malah sauh yang menambat turut terlepas sehingga dibawa ke tebing sungai,” katanya.
Katanya, akibat kejadian itu kerugian dianggarkan mencecah 3 bilion rupiah, malah pihak polis sedang melakukan siasatan punca kejadian dan mentaksir kerugian yang dialami.
Bagaimanapun, dilaporkan tidak ada mangsa terjejas akibat kejadian berkenaan.-TVS