KUCHING, 22 April: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan perkembangan terkini berhubung pelan untuk mengasaskan syarikat penerbangan sendiri dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, butirannya akan diumumkan pada awal bulan depan iaitu sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Baca artikel berkaitan >>> MOT akan bincang langkah lanjutan penubuhan syarikat penerbangan Sarawak
“Kita dah dapat lampu hijau dari kerajaan Persekutuan.
“Jadi tunggulah pengumuman saya nanti, selain tenaga hijau yang baharu diteroka oleh Sarawak, saya juga akan umumkan perkembangan syarikat penerbangan ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Baru – baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya bersetuju dengan hasrat Sarawak untuk mengoperasikan syarikat penerbangannya sendiri dan perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas.
Mengenai operasi syarikat penerbangan itu kelak, Abang Johari berkata, model perniagaan akan digunakan.
“Saya tidak boleh mendedahkannya dahulu. Apa yang pasti penerbangan ini bermatlamat untuk memudahkan pelancong dan bukan berasaskan keuntungan,” katanya. -TVS