SIBU, 27 Mei: Sedih dan kecewa, itu luahan Penyelaras JawatanKuasa Pengurusan Bahagian Sibu (JPBBS), Dr Annuar Rapaee mengenai tularnya warga Sibu berbaris untuk mendapatkan makanan segera edisi terhad di premis makanan segera di Jalan Sanyan.
Melalui aplikasi strim langsung Facebook, Dr Annuar Rapaee, beliau kelihatan sebak menjelaskan situasi berkenaan dan berharap penduduk Sibu sentiasa peka dan memainkan peranan masing-masing dikala pandemik Covid 19 yang semakin runcing sekarang ini.
“Tindakan yang berlaku pagi tadi amat membuatkan saya dan petugas barisan hadapan terguris dan kecewa seolah-olah orang Sibu tidak menghargai pengorbanan kami.” ujar beliau semasa memperincikan kes Covid 19 tempatan petang semalam.
“Tanpa menghiraukan implikasinya disebabkan tindakan tersebut masyarakat Sibu masih dapat keluar pergi membeli makanan lagi sedangkan petugas barisan hadapan ketika ini sedang bertarung nyawa dengan penat lelah bertugas di hospital.”
“Pengorbanan petugas barisan hadapan sekarang di hospital amatlah berat sehingga tidak mempunyai masa untuk makan disebabkan ramai pesakit COVID-19,” tegas Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.
“Sebenarnya saat ini ketika pandemik masih berada di tahap yang membimbangkan, penurunan kes atau untuk melawan COVID-19 ini adalah bergantung kepada sikap individu itu. Semalam Sibu mencatatkan sebanyak 49 kes positif COVID-19 mungkin itu mereka turun beramai-ramai ke premis berkenaan kerana berfikir keadaan sudah ok. Kita di Sibu tidak ok lagi,” tegas Adun Nangka itu.
Sumber: Suara Sarawak, Dr Annuar Rapaee Facebook