KUCHING, 19 Apr: Pemandu yang tidak mematuhi tujuh kesalahan jalan raya sepanjang musim perayaan akan diberikan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) notis mahkamah serta-merta.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata ia bersempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 yang berkuat kuasa dari 18 hingga 27 April.
“Kesalahan itu membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 di sini, hari ini.
Katanya, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengeluarkan kompaun bagi kesalahan tersebut, sebaliknya akan memberikan notis mahkamah.
Dalam pada itu, Hasbi juga berkata JPJ akan mempertingkatkan pemantauan di 52 lokasi jalan raya di Sarawak ini yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.
Rondaan Op Bersepadu JPJ itu bertujuan meningkatkan pematuhan tingkah laku pemanduan yang selamat dalam kalangan pemandu.
“Ini bertujuan bagi meningkatkan kadar POBC atau Perception of Being Caught iaitu kebolehlihatan penguatkuasaan bagi meningkatkan pematuhan tingkah laku pemanduan selamat melalui pengurangan melakukan kesalahan trafik berulang di jalan raya,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata JPJ mengadakan Op Bersepadu sempena perayaan Aidilfitri bermula semalam hingga 27 April ini.
Beliau berkata sebanyak 231 lokasi di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dengan pemantauan akan ditingkatkan di kawasan terlibat. – TVS