KUCHING, 19 April: Penubuhan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak dibincangkan pertama kali dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi Rabu.
Perkara tersebut dijelaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibolah yang mengatakan pelaksanaannya akan dikaji dan diperhalusi lebih lanjut.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Bukan mahu bersaing, Sarawak hanya mahu stabilkan harga tiket penerbangan – Abang Johari
- 2. Kerajaan setuju Sarawak miliki syarikat penerbangan sendiri – Anwar
- 3. Semak harga, beli tiket melalui aplikasi rasmi syarikat penerbangan – Loke
“Itu harapan bagi kita orang Sarawak. Mudah-mudahan ia boleh membantu dalam menambah lagi penerbangan ke Sarawak,” katanya pada majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023 di sini, hari ini.
Ujarnya, dari segi dasar, perkara tersebut telah diluluskan namun dari segi pelaksanaannya ia akan diperhalusi dengan lebih mendalam.
“Dari segi pelesenan, syarat-syarat dan sebagainya, semua itu akan diperhalusi,” katanya.
Dalam masa yang sama, Hasbi menjelaskan kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan memantau isu harga tiket penerbangan yang tinggi melibatkan laluan Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sering berlaku pada musim perayaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju secara dasarnya dengan hasrat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penubuhan syarikat penerbangan tersebut bertujuan untuk menambah jumlah penerbangan ke Sarawak selain menstabilkan harga tiket penerbangan ke negeri ini. – TVS