KUCHING, 19 April: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berharap permohonan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sarawak akan diluluskan pada Jun ini.
Menurutnya, harapan itu dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menerusi kunjungan ke Kuching baru-baru ini.
Dengan kelulusan permohonan memiliki taraf warganegara, diharap golongan ini mendapat akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, katanya.

“Ini memberi sinar baharu buat kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk mengubah nasib mereka,” katanya ketika ditemui TVS pada Ziarah Sumbangsih Raya 2023 di Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, hari ini.
Fatimah berkata lebih 900 permohonan dari Sarawak diterima oleh Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sejak diaktifkan pada Januari lalu.
Baru-baru ini Saifuddin memaklumkan kementeriannya meluluskan 177 permohonan kerakyatan dari Sarawak.
Sementara itu, mengulas mengenai permohonan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan (DSITKS) yang telah ditolak, beliau berkata ia susulan dokumen permohonan tidak lengkap.
Kelayakan bagi permohonan dokumen sementara ialah sudah memohon kewarganegaraan Malaysia menurut Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan dan berumur 21 tahun ke bawah.
Inisiatif kerajaan Sarawak ini adalah untuk membantu kanak-kanak tanpa kerakyatan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan sementara menunggu permohonan kewarganegaraan diluluskan. – TVS