KUCHING, 19 April: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai RM6.8 bilion di Sarawak pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi tiga kaedah pembayaran cukai iaitu dengan membuat pengakuan secara sukarela, program kesedaran dan sesi libat urus.
Menurutnya, pengakuan sukarela yang akan bermula pada 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024 akan meraih penglibatan daripada 50,000 pembayar cukai dengan anggaran hasil kutipan tambahan RM1 bilion untuk seluruh Malaysia.
LHDN turut menyediakan program kesedaran AES (Awareness, Education, Services) untuk memberi pemahaman kepada rakyat betapa pentingnya cukai untuk negara, jelasnya. LHDN juga mempunyai Pusat Panggilan Pemulihan HASiL (HRCC) untuk menghubungi pembayar cukai.
“Menerusi libat urus pula, sesi ini berfungsi sebagai tempat pegawai bertemu dan berbincang dengan pembayar cukai secara bersemuka,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja selepas majlis penyerahan sumbangan LHDN kepada golongan asnaf di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil kutipan cukai di Sarawak pada 2022 ialah RM6.6 bilion.
Ahmad Maslan berkata lagi, pembayar cukai yang masih mempunyai tunggakan tidak perlu khuatir kerana tidak ada penalti dikenakan dalam tempoh pengakuan cukai itu seperti tahun-tahun sebelumnya.
Ujarnya, hasil kutipan cukai itu kemudiannya akan kembali disalurkan dalam bentuk bantuan kepada rakyat serta tujuan pembangunan di seluruh negara untuk kelestarian rakyat.
Pada majlis tersebut, Ahmad Maslan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 30 asnaf dari kawasan Petra Jaya berbentuk bakul makanan dan wang tunai. – TVS