KUCHING, 19 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama dan kedua di Astana Negeri Sarawak.
Kenyataan media dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini memaklumkan, pada hari pertama, rumah terbuka akan bermula dari 11 pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Pada hari pertama, Tun Taib dan Toh Puan Raghad akan menerima kunjungan menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan serta orang kenamaan.
Menerusi rumah terbuka pada hari kedua Aidilfitri, mereka akan menerima tetamu dari 11 pagi hingga 1 tengah hari, khas untuk ketua-ketua jabatan kerajaan, sektor swasta dan orang ramai.
Orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka berkenaan diingatkan agar berpakaian kemas. – TVS