KUCHING, 19 April: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM13 juta sepanjang program Jualan Khas Syawal Madani di seluruh negara pada tahun ini.
FAMA berkata, pihaknya akan membuka 113 outlet pemasaran di seluruh negara yang terdiri daripada Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
“Sebanyak 113 outlet pemasaran ini bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Jualan Syawal Madani bertujuan untuk memudahkan para pengguna mendapatkan barangan keperluan Aidilfitri.
Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan Hari Raya yang turut dijual di outlet pemasaran ini.
“Medan Niaga Satok sentiasa menjadi tumpuan bagi para pengguna untuk mendapatkan bekalan keperluan makanan terutama menjelang musim perayaan.
“Bagi tujuan tersebut, FAMA mengadakan Jualan Khas Syawal Madani di Medan Niaga Satok dengan penyertaan seramai 100 usahawan bagi memastikan orang ramai mendapat bekalan yang mencukupi dalam persiapan menjelang perayaan,” ujarnya.
Program Jualan Khas Syawal Madani Medan Niaga Satok ini telah dirasmikan Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sarawak (Pembangunan) Siti Rafiza Nawawi dan Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sarawak (Operasi) Adeyong Tomick. – TVS