SARIKEI, 19 April: Projek menaik taraf sistem saluran air di kawasan Tanjong Manis sedang giat dijalankan, demikian menurut Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.
Menurutnya, kerajaan melalui agensinya masih berusaha untuk menyelesaikan secepat mungkin masalah penduduk di kawasan Tanjong Manis yang terjejas bekalan air.
“Tidak semua tempat terjejas bekalan air tapi ada beberapa tempat yang sangat kritikal, ini disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan yang masih dibuat oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang membaiki paip-paip tertentu, memasang paip-paip baru dan membaiki loji loji tertentu,” katanya ketika ditemui media di Sarikei pada hari ini.
Antara projek terbabit katanya, Loji Rawatan Air Tanjong Manis yang masih dalam proses baik pulih dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
Malah katanya, sebahagian daripada projek itu memerlukan masa berikutan beberapa komponen penting terpaksa ditempah dari luar negara.
“Sekiranya keadaan memaksa, kita akan cuba menghubungi pihak tertentu untuk memberi bekalan air mungkin menggunakan lori-lori tangki.
“Sekiranya kawasan tersebut terpinggir jauh, kita akan cuba menghubungi jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong Manis juga mungkin boleh membantu untuk mengagihkan air-air tertentu dalam masa sangat kritikal tersebut,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, ketika ini Lembaga Air Sibu (SWB) sedang menjalankan kerja pemulihan fasiliti sedia ada termasuk saluran paip, stesen penggalak dan loji rawatan air serta pengujian sebelum ia ditauliahkan.
Malah ujarnya, kerajaan juga melaksanakan tujuh pakej projek termasuk pakej enam yang merangkumi baik pulih loji rawatan air di Tanjong Manis. – TVS