KUCHING, 19 April: Kos meningkat saban tahun tidak melunturkan semangat seorang penduduk Kampung Nombor Lima, Mahli Udin, meneruskan tradisi bertuntong menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, dia membelanjakan kira-kira RM800 untuk menyalakan pelita di halaman rumahnya di Jalan Haji Kassan.
Sebanyak 250 pelita menerangi halaman rumahnya bermula malam Selasa (18 April) sempena malam tujuh likur.
“Pelita sekarang susah nak dapat, yang pakcik gunakan ini sudah lama dibeli. Saya akan simpan baik-baik selepas selesai digunakan,” katanya ketika ditemui di halaman rumahnya di sini, malam tadi.
Mahli yang berumur 70 tahun menggunakan minyak tanah dicampur dengan diesel untuk menyalakan pelita.
“Pelita ini dinyalakan bermula malam ini (tadi) sehingga raya ketujuh,” jelasnya sambil dibantu cucu-cucunya menyalakan api.
Lampu LED turut menghiasi rumahnya, lantas menyerikan lagi suasana menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, dia mula bertuntong sejak 1990-an disebabkan minat dan mengisi masa lapang pada malam-malam menjelang Hari Raya.
Dia memenangi pertandingan bertuntong sebanyak 19 kali.
“Kemenangan yang saya capai sebelum ini memberi dorongan setiap tahun agar lebih kreatif,” ujarnya. – TVS