KUCHING, 18 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak bersedia menghadapi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 yang dijadual bermula pada 15 hingga 24 Mei.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, persidangan itu penting kerana beberapa perkara akan dibangkitkan termasuk kedudukan Sarawak di Persekutuan.
Katanya, setelah selesai pilihan raya negeri dan umum, tumpuan berita banyak ke arah memberi penjelasan tentang kedudukan Kerajaan Sarawak di Persekutuan dan aktiviti kerajaan negeri.
“Dalam persidangan dewan akan datang, saya rasa banyak perkara yang akan dibentangkan dan diberitahu kepada rakyat.
“(Namun) kita tunggu sahaja pada 13 April nanti, iaitu Mesyuarat Pra-Majlis DUN Sarawak dan mungkin ramai warga media akan berada di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk mendengar berita yang akan disampaikan oleh Speaker DUN sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sungkei Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) 2023, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, Sarawak juga bakal menerima banyak lawatan oleh menteri-menteri Persekutuan dalam masa terdekat.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang (ke Sarawak) dan saya rasa perkembangan ini sangat menarik.
“(Jadi) saya harap pengamal media di sini dapat bertanya soalan-soalan yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung tentang kedudukan, pembangunan serta kepentingan Sarawak,” katanya.
Katanya, perkara ini perlu agar perhatian segera dapat diambil oleh Kerajaan Persekutuan mengenai keperluan rakyat Sarawak.
Sementara itu, kata Abdullah, keadaan politik di Sarawak ketika ini tenang sekali gus membolehkan kerajaan yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat memberi tumpuan kepada agenda pembangunan.
“Seterusnya, kita (kerajaan negeri) juga dapat memberi fokus kepada pelaksanaan pelbagai projek yang akan memberi kesenangan kepada rakyat,” katanya. -TVS