KUCHING, 18 April: Jualan Bazar Aidilfitri di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia dilaporkan kurang mendapat sambutan pada tahun ini.
Namun situasi berbeza berlaku di bandar raya ini apabila peniaga bazar di sini mengakui jualan mereka laris.
Peniaga kuih raya di Bazar Aidilfitri Plaza Merdeka, NurShazwani Ikhwan berkata, jualannya naik mendadak sejak beberapa hari lepas.
“Alhamdulillah sejak berniaga di sini pada awal Ramadan, jualan saya mendapat sambutan malah terdapat pelanggan yang membeli secara borong,” katanya kepada TVS.
Peniaga pakaian, Junara Hameed pula berkata, dia bersykur kerana jualannya pada tahun ini lebih baik berbanding dua tahun lepas.
“Saya berasa terkejut kerana sambutan daripada pelanggan pada tahun ini sangat menggalakkan walaupun banyak persaingan.
“Saya rasa tahun ini lebih meriah kerana orang ramai dilihat lebih bersemangat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Seorang lagi peniaga pakaian, Sharifah Nur Fatihah Abdullah berkata, tapak jualannya dikunjungi pelanggan tanpa henti.
“Saya dan pekerja tidak menang tangan kerana terlalu ramai pelanggan yang membeli baju raya di kedai kami.
“Saya rasa sambutan Hari Raya Aidilfitri akan meriah pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan TVS juga mendapati pengunjung semakin ramai datang berbelanja ke bazar berkenaan selepas berbuka puasa.
Antara barangan yang dijual di situ termasuklah baju kurung, baju Melayu, barang perhiasan, kuih dan biskut serta banyak lagi. -TVS