KUCHING, 17 April: Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) mencapai kata sepakat untuk memperkasakan belia di sini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Persetujuan itu dicapai hari ini susulan pertemuan membabitkan Pengerusi KOBIS, Zaiwin Kassim dan Setiausaha Tetap MySED, Morshidi Frederick.
Zaiwin berkata, pertemuan berkenaan bertujuan untuk membincangkan strategi yang dapat dilaksanakan terutamanya bidang yang belum diterokai sekali gus mencungkil bakat baharu.
“KOBIS akan sentiasa menyokong usaha ini, saya yakin MySED juga mempunyai visi yang sama,” katanya menerusi kenyataan media.
Mengulas lanjut, Zaiwin Kassim berkata, pihaknya menghargai sokongan diberikan oleh Kerajaan Sarawak terhadap pihaknya untuk menganjurkan pelbagai acara berorientasikan pembangunan sejak 10 tahun lepas.
“KOBIS mula terlibat aktif dalam agenda pembangunan belia sejak 2013 dan berjaya memperolehi Anugerah Sarawak NGO Youth Chief Minister pada 2016 serta Anugerah Anak Sarawak pada 2018,” katanya.-TVS