KUCHING, 17 April: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Sarawak melalui Koperasi IRMYR Kuching Berhad mengadakan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) sempena Ambang Syawal 2023 dengan objektif utama membantu menangani kos sara hidup rakyat, selain menawarkan harga jualan yang berpatutan untuk barangan keperluan runcit.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, Program Siri Jualan yang berlangsung di seluruh negara tersebut merupakan satu inisiatif dalam melaksanakan dasar kerajaan Malaysia Madani bagi membantu permasalahan rakyat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu selepas pandemik COVID-19.
“Saya berkesempatan untuk melancarkan gimik perasmian Program Jualan Madani Koperasi anjuran SKM Cawangan Kuching. Terdapat pelbagai barangan runcit yang dijual pada harga subsidi dan saya melihat harga di bawah harga pasaran. Jadi, saya amat mengalu-alukan usaha sebegini sama ada koperasi atau pun mana-mana entiti organisasi lain untuk menjalankan Jualan Madani bagi membantu rakyat bukan sahaja di Sarawak tapi di mana-mana sahaja ntuk membantu mereka menangani kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) hari ini.
Tambahnya, orang ramai boleh datang berkunjung ke program jualan bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan.
Ujar beliau lagi, pihaknya akan memastikan bekalan yang disediakan selama program berlangsung adalah mencukupi.
“Saya berharap SKM akan mampu untuk melaksanakan program jualan seperti ini di beberapa lokasi yang lain dan ia adalah dalam perancangan SKM. Barangan runcit seperti telur, tepung, minyak masak, sabun, milo dan makanan harian lain adalah sebanyak 96 jenis di Program Jualan Madani Koperasi ini. Sesiapa sahaja yang datang ke Kompleks Persekutuan Kuching, ia akan dibuka pada hari ini sehingga esok. Sekiranya kehabisan stok, Koperasi IRMYR Kuching Berhad akan memenuhi semula stok dalam tempoh dua hari ini,” katanya lagi.
Program Jualan Madani Koperasi (JMK) sempena ambang Syawal 2023 ini akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini, 17 dan 18 April 2023 bertempat di gelanggang bola tampar, Kompleks Persekutuan Kuching.
Turut hadir Pengarah SKM Cawangan Negeri Sarawak, Liew Liuk Chim dan ketua-ketua agensi dan jabatan kerajaan di Kompleks Persekutuan Kuching, Sarawak.-TVS