Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri bersama sebahagian usahawan wanita sempena Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Lahad Datu hari ini. Foto Pejabat Datuk Seri Nancy Shukri.

KPWKM terus bantu wanita jana pendapatan melalui Program Wanita Bangkit

ByBernama

KUALA LUMPUR, 16 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjaya membantu serta membimbing 300 wanita yang hilang punca pendapatan, pencari nafkah utama dan ibu tunggal menerusi Kursus Bimbingan Perniagaan Bagi Program MyKasih Kapital iaitu inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KWPKM.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kursus yang dijalankan di Lahad Datu, Sabah itu dirasmikan oleh Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri bagi menggerakkan Program Wanita Bangkit@KPWKM dan setakat hari ini, ia telah menerima sejumlah 4,130 peserta.

“Objektif Kementerian menerusi inisiatif MyKasih Kapital adalah untuk memperkasa ekonomi kumpulan sasar dan meningkatkan taraf hidup golongan wanita yang memerlukan bantuan segera kewangan untuk memulakan perniagaan melalui bantuan MyKasih Kapital,” menurut kenyataan itu.

Setakat hari ini, Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM telah membimbing dan membangunkan seramai 18,900 wanita seluruh negara melalui kursus keusahawanan serta bimbingan permulaan perniagaan dengan kolaborasi strategik pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat.

Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut adalah bagi mengoptimum potensi individu berdasarkan kemahiran dalam perniagaan bagi menjana pendapatan.

Kursus bimbingan yang diberikan adalah persediaan asas bagi golongan wanita untuk mempersiapkan diri bagi memulakan perniagaan e-dagang, drop-ship (pesan hantar) dan perniagaan kecil-kecilan yang bukan di bawah skim keusahawanan yang ditawarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional serta Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan aspek psikopendidikan turut menjadi fokus utama program tersebut supaya wanita terbabit diberi perkongsian untuk memantapkan diri dengan mengenali potensi diri oleh Kaunselor Berdaftar Pusat Sokongan Sosial Setempat.

“Melalui perkongsian potensi diri, para peserta dapat meningkatkan jati diri wanita dan memberi kesedaran serta penerokaan ilmu baharu melalui sokongan emosi yang mampu membangkitkan daya tahan untuk memulakan kehidupan yang baharu akibat hilang punca pendapatan kesan pandemik COVID-19, penceraian, penderaan dari segi fizikal atau emosi dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan KPWKM komited untuk terus memartabatkan kaum hawa dalam aspek sosioekonomi dan yakin inisiatif tersebut dapat membantu golongan terjejas khususnya wanita. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan