KUCHING, 16 April: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Kejiranan Mesra (KJM) Satok menganjurkan Program Agihan Bubur Pedas yang telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.
Menurut Datuk Ibrahim Baki, beliau memuji usaha murni yang dijalankan dalam menganjurkan program sebegini pada bulan yang mulia ini sekali gus mampu mengukuhkan ukhwah antara penduduk setempat.
“Program ini amat mulia di bulan Ramadan yang diharapkan akan memantapkan dan meningkatkan lagi ukhwah antara penduduk-penduduk di kawasan ini khususnya dan ini memaparkan satu semangat gotong-royong di mana memasak bersama-sama dan juga melambangkan sifat tolong-menolong antara masyarakat sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pengagihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra (KJM) N8 Satok bertempat di Surau Nurul Islam, Kampung Nombor 5 di sini, semalam.
Lebih 500 pek bubur pedas dan bubur lambuk telah diagihkan pada program tersebut.
Program turut menyaksikan penyerahan cek berjumlah RM10,200 untuk diagihkan kepada 51 asnaf di sekitar kawasan tersebut.
Selain itu pada program yang sama sumbangan berupa bakul makanan kering turut diagihkan kepada 21 asnaf tajaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN). -TVS