SIBU, 15 April: Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan memiliki dua jenis dadah lebih setengah kilogram di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahlawan di sini, pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 25 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di lokasi berkenaan pada jam 10.20 malam.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamine seberat 50.20 gram.
“Pihak polis turut menjumpai 14 paket plastik warna putih bertulis ‘Juice Master’ dipercayai dadah jenis Ecstasy seberat 579.8 gram,” katanya menerusi kenyataan media malam ini.
Menurutnya, nilai semasa keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM22,025.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek seterusnya ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama, suspek telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan, mandatori gantung sampai mati manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih (2) tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama (2) tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS