Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) di Kuching.

SUTMaC kurangkan masalah trafik bandar di Sarawak

ByMuqri Aziz

KUCHING, 15 April: Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) telah bersetuju untuk memasukkan Pelan Pembangunan Lorong Bas Khusus ke dalam dasar perancangan bandar bagi memudahkan pembangunan lorong khusus untuk bas di bandar-bandar utama di Sarawak pada masa hadapan.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, pengurusan trafik bandar yang sistematik diperlukan untuk mewujudkan pergerakan manusia yang selamat, teratur dan cekap serta melindungi alam sekitar.

“SUTMaC akan meneliti isu trafik bersama-sama dan akan mengesyorkan kepada kerajaan program bersepadu dan segera serta projek dan inisiatif bagi menyelesaikan isu tersebut dengan cara yang lebih terkoordinasi.

“SUTMaC juga akan melihat bukan sahaja tindakan pelan jangka pendek tetapi juga strategi jangka panjang dalam mengurangkan masalah trafik bandar di Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak di Kuching semalam.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Kerajaan daripada Kementerian dan Agensi seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang dipertanggungjawab dalam pengurusan trafik bandar termasuk Residen di semua Bahagian di Sarawak.

Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah memberi tumpuan kepada isu penyelarasan projek dan program yang dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan trafik bandar termasuk operasi pusat arahan dalam menguruskan lalu lintas bandar.

Pada masa sama, jawatankuasa itu juga telah diberi taklimat oleh Sarawak Metro Sdn Bhd mengenai gambaran keseluruhan mengenai projek Transit Aliran Ringan (ART) serta Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Jelas Kim Shin, Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bertanggungjawab dalam mengawal aliran trafik dan pembinaan infrastruktur untuk aliran trafik.

“Agensi ini akan bekerja mengikut peranan dan fungsi masing-masing dengan agenda dan keutamaan masing-masing.

“SUTMaC akan menjadi forum untuk semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk duduk bersama, untuk menyelaraskan isu-isu penting yang mempengaruhi trafik bandar serta pergerakan pengangkutan,” jelasnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan