KUALA LUMPUR, 14 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menyantuni golongan asnaf pada majlis berbuka puasa anjuran Astana Negeri Sarawak di sini pada malam ini.
Pada majlis itu, Tun Taib dan Toh Puan Raghad turut menyampaikan duit raya kepada 50 asnaf daripada Persatuan Anak Limbang dan Persatuan Budaya Pasar Borneo Sri Kembangan.

Majlis turut menyaksikan syarikat VFive Group menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Ragad Foundation sebagai sokongan kepada yayasan itu dalam menjalankan kerja-kerja amal.
Hadir sama pada majlis itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Majlis itu menyaksikan kehadiran 300 tetamu dari jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan Sarawak serta duta-duta dari negara luar.
Sementara itu, ini merupakan antara program dihadiri Abang Johari sempena lawatan dua hari ke Kuala Lumpur.
Pada Sabtu, beliau dijadualkan menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak Sarawak di Semenanjung. – TVS