KUCHING, 14 April: Pengunjung festival berpeluang merebut tiket ‘early bird’ bagi Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023, bermula tepat jam 12 tengah malam, 15 April.
Jualan tiket yang ditawarkan bagi tempoh terhad tersebut bermula daripada RM190 dan boleh dibeli melalui ejen tiket rasmi RMWF 2023 iaitu di platform Klook.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Haji Salleh Askor berkata, STB menjangkakan 20,000 pengunjung berbanding jumlah pengunjung pada musim sebelum ini dengan kehadiran pengunjung sedia ada dan baharu untuk merasai pengalaman RWMF 2023.
“Pangkah kalendar anda untuk 15 April apabila jualan tiket untuk acara itu bermula, kerana itu akan menjadi permulaan jualan tiket ‘early bird’.
“Pastikan anda memanfaatkan peluang ini dan membeli tiket anda pada kadar diskaun…Tempoh tawaran adalah terhad!,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengunjung boleh memilih rangkaian tiket daripada harga ‘early bird’ iaitu Pas 1 Hari Dewasa Jumaat/Ahad (RM190), Pas 1 Hari Dewasa Sabtu (RM220), Pas 2 Hari Dewasa Jumaat + Sabtu/Sabtu + Ahad (RM360), Pas 3 Hari Dewasa (RM480) dan Pas 1 Hari Kanak-kanak Jumaat/Sabtu/Ahad (RM80).
Festival tiga hari itu akan menampilkan 199 pemuzik dari 12 negara dan 4 benua untuk mempersembahkan pelbagai genre muzik, termasuk pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings yang menampilkan Tonino Baliardo dari Perancis dengan lagu hits seperti ‘Djobi Djoba’ dan ‘ Bamboleo’ yang bersedia untuk memikat pengunjung dengan muzik berorientasikan pop, dari genre flamenco dan rumba tradisional.
Selain itu, penghibur antarabangsa juga bakal menggegarkan festival muzik kali ini seperti ‘Big Mountain’ dari Jamaica dan Amerika Syarikat yang terkenal dengan hit ‘smash’ mereka “Baby I Love Your Way”, ‘Safi Theatre’ dari Tanzania, ‘Rastak’ dari Iran, ‘Fasylive’ dari Maldives, ‘Afriquoi’ dari United Kingdom, ‘Chatusram’ dari India, ‘Rizal Hadi & Folk’ dari Indonesia dan ‘Ethno Thai Fusion Sound Band’ dari Thailand.
Barisan itu juga termasuk penghibur dari Jepun, Hong Kong dan Singapura.
Manakala, bakat muzik tempatan yang bakal membuat persembahan di RWMF2023, termasuk Zee Avi, Suk Binie, Aseana Percussion Unit, Nadir, Steve Thornton & Afroasia, Sada Borneo, Tuku Kame, Nading Rhapsody, Geng Wak Long, Buloh Bekocak, At Adau, Meruked, dan Orang Orang Drum Theatre.
Maklumat lanjut mengenai barisan artis dan tiket boleh didapati dengan melayari laman web rasmi Rainforest World Music Festivals di rwmf.net. – TVS