KUCHING, 14 April: Dua daripada lima permainan sukan elektronik (e-sukan) yang dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak telah dimuktamadkan tahun lepas, kata Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi.
Menurutnya permainan tersebut adalah PUBG Mobile dan Mobile Legends yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persekutuan E-Sukan Malaysia 2022 tahun lepas.
Dengan penetapan tersebut, kata Afiq SESA akan memilih atlet yang akan menggalas cabaran Sarawak dalam sukan tersebut termasuk pencarian bakat baharu.
“Pemilihan permainan belum ditetapkan, kita tunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) apakah permainan yang akan dipertandingkan, sebaik menerima makluman mengenai permainan yang akan dipertandingkan, kita akan tahu atlet mana yang dipilih atau pencarian bakat baharu.
“Setakat ini kalau diikutkan Mesyuarat Agung Tahunan Persekutuan E-Sukan Malaysia tahun lalu, persetujuan dicapai untuk mempertandingkan permainan PUBG Mobile dan Mobile Legends, jadi dua permainan ini sudah dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persediaan SESA berhubung pemilihan permainan untuk disenaraikan dalam acara E-sukan pada SUKMA Sarawak tahun depan.
Bagaimanapun tiga lagi permainan melibatkan Race Room, FIFA 24 dan Tekken 7 telah dicadangkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak namun ia belum disahkan setakat ini.
“(Tiga permainan) ini yang belum disahkan, tetapi saya sudah menghantar kertas cadangan kepada MSN Sarawak untuk permainan tambahan yang akan dipertandingkan.
“Antaranya simulator perlumbaan, Race Room, FIFA 24 dan mungkin, Tekken 7, ini belum keputusan akhir lagi, selepas ia diputuskan oleh MSN, barulah ia disahkan,” katanya.
Kata Afiq, penekanan diberikan kepada permainan simulator perlumbaan kerana ia berpotensi yang menyumbang pingat emas kepada kontinjen negeri Sarawak.
Mengulas mengenai permainan Dota 2, kata Afiq ia tidak disenaraikan untuk dipertadingkan dalam acara e-sukan atas faktor kekurangan pemain.
Untuk rekod, Sarawak dipilih menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2024 yang turut mempertandingkan e-sukan sebagai acara teras buat julung kalinya.-TVS