KUCHING, 13 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang menyantuni saudara baharu sempena Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Agensi-Agensi Islam hari ini.
Pada majlis berkenaan, Abang Johari turut menyampaikan geran berjumlah RM902,400 dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Geran Urus Setia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak (MIS) yang melibatkan 12 bahagian di negeri ini.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang anak-anak saudara baharu.
Seramai 600 tetamu yang terdiri daripada warga kerja agensi-agensi Islam di bawah MIS antaranya Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak hadir pada majlis itu.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan khatam termasuk oleh Abang Johari dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut memperdengarkan bacaan Al – Quran ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha.
Majlis diakhiri dengan solat sunat tarawih dan witir berjemaah yang diimamkan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi. -TVS