KEPALA BATAS, 13 April: Jenazah Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang ditemukan selepas lima hari dilaporkan hilang di Hutan Simpan Belum di Gerik, Perak pada Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Mertajam, Penaga di sini petang tadi.
Jenazah tiba di Masjid Jamek Pulau Mertajam dengan van Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kira-kira pukul 5.25 petang untuk disembahyangkan.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Kecederaan kepala punca kematian tentera di hutan Perak
- 2. Tentera hilang di hutan ditemukan meninggal dunia
- 3. Arwah tidak banyak bercakap tentang raya
Jenazah sebelum itu selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila disertai kira-kira 300 saudara mara dan rakan arwah selain ibunya, Fadzilah Abu Bakar dan isteri, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Anuar Abdul Wahab dan Panglima 11 Divisyen, Brigadier-Jeneral Shahir Hafizul Abd. Rahman.
Sementara itu, Fadzilah berkata, dia sempat menatap wajah jenazah anak tunggalnya itu buat kali terakhir ketika melakukan pengecaman di HRPB petang tadi.
“Saya reda. Kalau tidak reda saya tidak tenang,” katanya ringkat kepada pemberita sejurus upacara pengebumian selesai.
Mayat anggota tentera dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang itu ditemukan kira-kira pukul 10.15 pagi semalam selepas lima hari dilaporkan hilang.
Anggota tentera itu disedari hilang ketika melakukan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman hutan simpan tersebut kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat.
Hasil bedah siasat mengesahkan kematiannya berpunca kecederaan pada kepala akibat terjatuh. -TVS