KUCHING, 13 April: Sarawak menyasarkan untuk mewartakan sekurang-kurangnya satu juta hektar kawasan hutan pada 2025, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan sebanyak 87.3 peratus sudah diwartakan setakat ini.
“Kita (Kerajaan Sarawak) juga akan terus mewartakan beberapa kawasan untuk dijadikan sebagai taman negara dan pusat hidupan liar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak – anak syarikatnya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar PUSAKA, Datuk Hashim Bojet.
Sementara itu, Awang Tengah turut memberitahu, Sarawak mempunyai keluasan tanah mencecah 12.4 juta hektar.
“Rekod semasa Jabatan Hutan Sarawak menunjukkan sebanyak 62 peratus atau 7.7 juta hektar tanah masih dilitupi hutan dan merupakan kawasan hutan paling luas di Malaysia,” katanya. -TVS