KUCHING, 13 April: Sebanyak 62 pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, keagamaan dan pendidikan menerima sumbangan duit raya berjumlah RM 284,000 daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya hari ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu pihak berkaitan membuat persiapan untuk sambutan Hari Raya kali ini.
“Saya berharap PUSAKA dan anak-anak syarikatnya akan terus membuat perancangan supaya kita akan terus dapat berjaya.”
“Dan dengan itu kita dapat terus meneruskan program sebegini sumbangan derma. Malahan program-program lain meningkatkan Tanggungjawab sosial korporal (CSR), malah kemakmuran yang kita capai sekurang-kurangnya dapat dikongsi bersama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Pusaka & Anak-Anak Syarikat 2023, di sini, hari ini.
Menurut beliau inisiatif sumbangan tersebut dimulakan sejak tahun 1982 merupakan ilham Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika beliau bergelar Ketua Menteri.
Terdahulu, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah keuntungan tahunan atau pulangan saham tetapi ia harus dilihat daripada segi komitmen untuk berkongsi kemakmuran serta keuntungan dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. -TVS