KUCHING, 13 April: Sebanyak 350 individu dalam kalangan B10 menerima Bakul Rahmah daripada sebuah pasaraya di sini menerusi pendekatan dari rakyat untuk rakyat.
Inisiatif pasaraya yang ingin membantu golongan berpendapatan RM2,500 sebulan itu juga menawarkan dua jenis pakej untuk dibeli golongan terbabit yang memerlukan.

Simbolik penyerahan inisaitif itu telah disempurnakan pada Jelajah Rahmah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna), Datin Roszanina Wahab dan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub, Suhaizan Kaiat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebanyak 350 buah bakul makanan bernilai RM13,485.40 itu telah diserahkan kepada lima organisasi yang terdiri daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ragad Foundation, Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak, Cats FM dan Sarawak Children’s Cancer Society.
Sumbangan itu bertujuan untuk membantu kumpulan sasar yang terlibat meringankan beban kos sara hidup mereka.

Untuk rekod sebanyak 650 Bakul Rahmah diserahkan kepada golongan sasar di Sarawak merangkumi 300 buah telah diserahkan di Miri pada 17 Mac lalu.
Setakat ini, inisiatif Bakul Rahmah telah berjaya membantu lebih dari 34,000 Ketua Isi Rumah golongan B10 melibatkan lebih daripada 12,000 bakul telah diagihkan di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan 2023. -TVS