BINTANGOR, 13 April: Program Kaunter Bergerak (Mobile Service) bakal diperluaskan ke kawasan luar bandar berikutan respons positif penduduk setempat.
Inisiatif Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Cawangan Bintangor itu menurut pengerusinya, Datuk Ding Kuong Hiing, setakat ini, pelaksanaan program di kawasan tersebut berjalan lancar dengan kerjasama baik ahli parti yang menjayakannya.
Beliau berkata, tumpuan program kini bukan lagi hanya di sekitar bandar Bintangor tetapi juga di kawasan luar bandar bagi memudahkan urusan penduduk luar bandar.
“Setakat ini, penduduk luar bandar memberikan respon yang baik. Mungkin mereka mengalami kesukaran untuk datang ke pusat khidmat.
“Penduduk di kawasan bandar tidak menghadapi sebarang halangan kerana mereka boleh pergi terus ke pusat khidmat. Jadi, kita akan memberi tumpuan lebih dengan memperbanyakkan program kaunter bergerak ke kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, program kaunter bergerak memudahkan penduduk menyuarakan pandangan, mengemukakan permasalahan dan memohon bantuan yang berkaitan.
“Jika penduduk mengalami permasalahan kecil, kita akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin seperti membaiki jalan berlubang. Namun sekiranya ada aduan seperti lampu jalan atau projek yang lebih besar, kita akan rujuk agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan sebagainya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memberikan kerjasama agar program berkenaan dapat diteruskan dari semasa ke semasa. -TVS