BUTTERWORTH, 11 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita set peralatan karaoke yang mengandungi 32,000 salinan karya muzik dipercayai cerak rompak dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Taman Limbungan Indah di sini semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, serbuan pada pukul 5.20 petang itu yang turut disertai wakil Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang mendapati sistem karaoke di situ mengandung karya muzik yang disyaki salinan langgaran.
Katanya, kesemua peralatan karaoke yang disita dianggarkan bernilai RM114,000.
“Antaranya termasuklah sistem karaoke, amplifier, processor, mikrofon, televisyen, pembesar suara dan alat kawalan jauh.
“Terdapat 32,000 karya muzik di dalam cakera keras sistem karaoke terbabit yang setiap satu bernilai RM3,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Hakcipta 1987. -TVS