KUCHING, 13 April: Setiap kali Ramadan, antara juadah kegemaran ramai dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Sarawak adalah popia basah.
Popia basah sememangnya popular untuk dijadikan santapan berbuka puasa oleh semua peringkat umur kerana mengandungi khasiat tinggi dari sayur-sayuran.
Menurut seorang penjual popia basah di Kuching, Jamaliah Hassan, 57, popia basah dikategorikan sebagai makanan istimewa dan gerainya hanya menjual juadah tersebut pada bulan Ramadan sahaja.
“Popia basah ini istimewa, saya kesian tengok mereka yang berpuasa tercari-cari dengan juadah ini, jadi kita tawarkan kelainan.
“Kalau kuih-muih lain itu biasa dan mudah didapati. Kita mahu berikan orang ramai makan juadah yang istimewa,“ katanya ketika ditemui TVS, baru-baru ini.
Katanya, popiah basah yang ditawarkan gerainya adalah lain daripada yang lain kerana beliau menggunakan kulit popia yang dicampurkan dengan pewangi pandan, selain turut menggunakan sos buatan sendiri serta taburan bahan lain sebagai penambah selera.
“Pertama sekali saya buat kulit, pagi-pagi dah bangun buat kulit popia dari tepung. Pembuatan kulit popia mudah tetapi memerlukan kemahiran menyembam dekat atas kuali yang panas.
“Kemudian buat inti, selepas itu letakkan sos, sengkuang, timun, telur dan akhir sekali kita taburkan serunding ayam sebelum ia digulung.
“Walaupun serunding ayam agak mahal, tetapi bagi saya kalau makanan kita sedap, pelanggan tidak kisah untuk membeli,“ ujarnya.
Jelasnya, sepanjang Ramadan ini, popia basah gerainya laris apabila habis dijual 200 gulung dalam tempoh kurang lima jam setiap hari.
Jamaliah menambah, jumlah berkenaan juga pernah habis dijual dalam tempoh dua jam pada minggu kedua Ramadan.
Sementara itu, pelanggan yang ditemui, Isma Ismail, 26, berkata, popia basah gerai Jamaliah menjadi juadah wajibnya pada setiap bulan Ramadan kerana rasanya yang tiada tandingan berbanding gerai lain.
“Bagi saya, popia basah ini yang terbaik di Kuching ini. Popia basah ini sesuai dijadikan juadah berbuka puasa kerana ia tidak mengenyangkan sangat yang mana kita boleh beribadah dahulu dan kemudiannya mengambil makanan lain,“ jelasnya.
Turut senada, Marlina Abdul Malik, 38, yang memberitahu popia basah menjadi pilihannya kerana jumlah hidangannya yang tidak terlalu berat.
“Hari ini saya berbuka puasa dengan makan popia basah dan buah kurma sahaja. Jadi ada diet sikit la untuk makanan yang sesuai untuk berbuka puasa.
“Satu gulung ini dah cukup dan tidak perlu makan nasi atau juadah lain lagi,“ katanya.
Satu gulung popiah basah dijual dengan harga RM7 dan boleh dimakan dua orang. – TVS