KUCHING, 11 April: Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi anak syarikatnya bakal menawarkan penerbangan antarabangsa baharu ke Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, laluan baharu itu akan membabitkan beberapa destinasi di utara Asia dan China.
Kata beliau, bagi segmen baharu itu, Firefly akan diberi tanggungjawab berkenaan.
“(Oleh itu) akan berlaku perubahan besar terhadap operasi penerbangan Firefly.
“Selain mengambil alih satu laluan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines di Sarawak, kami juga akan menggunakan pesawat Firefly untuk menghubungkan lebih banyak destinasi antarabangsa dengan Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjung hormat bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MASWings, Suresh Singam dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Kapten Hamden Che Ismail.
Sementara itu, Ahmad Luqman memaklumkan syarikat juga berhasrat untuk menambah bilangan pesawat Firefly bagi kelancaran operasi mereka.
“Kami (dijangka) akan mempunyai sekurang-kurangnya enam pesawat menjelang akhir tahun namun perancangannya ialah kita mahu menambah kepada 11 pesawat iaitu jumlah yang mencukupi untuk operasi,” katanya.
Berkenaan pertemuan dengan Abang Johari, Ahmad Luqman memaklumkan, beliau telah memberi taklimat mengenai operasi MAG ketika ini. -TVS