KOTA SAMARAHAN, 10 April: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bertindak segera apabila menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Pangsapuri I-Mas Village di sini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat II Sarawak, Mohamad Razi Sitam berkata, bantuan tersebut juga disalurkan oleh Pejabat Masyarakat Bahagian Samarahan kepada tiga mangsa yang membabitkan dua keluarga.
Katanya, antara bentuk bantuan termasuklah makanan bernilai RM150, kelengkapan tidur berjumlah RM200, pakaian harian (RM400), wang tunai RM200 serta peralatan dapur sebanyak RM700.
“Oleh itu, setiap mangsa akan menerima bantuan sebanyak RM1, 650 yang diserahkan oleh JKM Sarawak,” katanya kepada media selepas hadir menyerahkan bantuan berkenaan hari ini.
Turut hadir Pengarah JKM Sarawak, Adana Jed dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan, Ebby Hirwandy Sarbini.
Dalam kebakaran pada pukul 5.30 petang kelmarin, dua unit rumah di pangsapuri terbakar dengan anggaran kemusnahan mencecah 80 peratus.
Sementara itu, Muhammad Razi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai punca sebenar kebakaran.
Dalam pada itu, seorang mangsa, Carlteddy Rasjmarthniy Adi berkata, dia berterima kasih kepada JKM yang telah menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat kejadian itu.
Raymond Hollis Tinggom yang turut menjadi mangsa berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu.
“Sekurang-kurangnya, bantuan ini dapat meringankan beban kami kerana kebakaran yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangka,” katanya. -TVS