KUCHING, 10 April: Kadar pengangguran pada Februari 2023 turun kepada 3.5 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut DOSM, ini menjadikan jumlah penganggur yang direkodkan di negara ini ialah seramai 591,900.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara juga terus stabil, sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa.
Kata beliau, bilangan tenaga buruh pada Februari lalu berada pada trend menaik dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang.
“Pada Januari lalu, seramai 16.76 juta orang, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi iaitu pada 69.9 peratus,” katanya menerusi kenyataan media dikeluarkan di Putrajaya hari ini.
Tambah Mohd. Uzir, kategori pekerja meliputi 75.7 peratus yang secara konsisten merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja pada Februari di mana kategori ini mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.25 juta orang.
Mengulas lanjut mengenai sektor ekonomi, bilangan penduduk yang bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan, borong serta runcit dan pentadbiran dan khidmat sokongan.
Pada masa sama kata beliau, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan trend yang sama.
“Bagi kadar pengangguran, belia yang berumur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.3 peratus, dengan bilangan seramai 320 800 ribu orang pada Januari 2023,” katanya.
Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada kadar 7.0 peratus, mencatatkan 450 200 ribu penganggur.-TVS