LIMBANG, 9 April: Seorang wanita yang juga pemilik kedai langsir melecur selepas premisnya di Jalan Buangsiol, di sini terbakar pagi tadi.
Difahamkan mangsa, King Choon Moi, 49, mengalami kecederaan pada bahagian kaki, siku dan bahu serta diberi rawatan awal di lokasi.
Seorang pekerja lelaki berusia 18 tahun yang turut berada di situ ketika kejadian pada pukul 10 pagi itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Baca artikel berkaitan >>>>>Â Kedai langsir dua tingkat terbakar
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah kedai dua tingkat sedang terbakar di tingkat satu.
“Kebakaran melibatkan tempat penyimpanan kain dan memusnahkan hampir 40 peratus kedai berkenaan.
“Kedua-dua mangsa pula berjaya menyelamatkan diri dan kebakaran tidak melibatkan kehilangan nyawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11:40 pagi. -TVS