GEORGE TOWN, 8 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka menerima penyerahan Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) pada 24 Julai depan selepas tertangguh sebelum ini.
Pemangku Ketua Pengarah APMM, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya dimaklumkan OPV 2 dan OPV 3 pula akan diserahkan secara berperingkat pada hujung tahun ini dan awal tahun hadapan.
Menurutnya, kelewatan penerimaan kapal OPV 1 yang dibina di Limbungan TH Heavy Engineering (THHE) Berhad, Pulau Indah, Selangor adalah disebabkan isu penerimaan peralatan utama yang diperolehi dari luar negara.
“Beberapa peralatan yang ditempah oleh limbungan THHE sendiri seperti meriam, dari Turkiye dan peralatan lain bot dari United Kingdom.
“Kita harap penerima kapal OPV kali ini berjalan lancar kerana ia amat diperlukan APMM bagi menguatkuasakan undang-undang di perairan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Ops Khas Pagar Laut yang diadakan di perairan negeri ini dekat Batu Maung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah APMMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed.
Mengikut perjanjian awal, dua daripada tiga buah kapal OPV yang dikatakan kapal terbaik diperlukan APMM sejak tiga tahun lalu itu sepatutnya diserahkan tahun ini.
Kapal OPV berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dikatakan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.
Kapal tersebut berkeupayaan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan di luar jangkauan kapal kecil.
Ia turut dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan. – TVS