Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Foto TVS.

Minyak masak paket cukup pada Ramadan dan Syawal

BUKIT MERTAJAM, 7 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tiada krisis berhubung minyak masak paket bersubsidi ketika ini sehingga perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bagaimanapun mengakui terdapat aduan berhubung kekurangan minyak masak bersubsidi tersebut di beberapa tempat dan pada masa tertentu.

Ujarnya pegawai kementerian itu akan bertindak terhadap aduan berhubung isu berkaitan dalam tempoh seminit termasuklah mendapatkan bekalan minyak masak dari tempat lain.

“Kekurangan minyak masak paket hanya kes terpencil dan pegawai akan segera bertindak untuk pulihkan bekalan.

“Ia ada isu kadang-kadang tempat yang kekurangan bekalan itu (kerana) peniaga tiada ECOSS (Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) dan mungkin ada isu keredit antara peruncit dan pemborong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri Petronas dan Bakul Rahmah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kerjasama antara KPDN dan beberapa kementerian dalam menangani isu orang tengah telah berjaya mengawal harga bahan mentah.

“Seperti semalam, saya lihat bila ikan yang dibawa terus ke meja jualan harganya lebih murah selain sayur-sayur yang sekarang ini nampaknya harga yang agak munasabah tidak seperti yang dibimbangi rakyat sebelum bulan puasa.

“Selain itu, setakat petang ini, data-data hasil tinjauan pegawai kita membuktikan bekalan ayam, telur, dan sayuran sememangnya mencukup menjelang sambutan hari raya puasa,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan