Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Roland Sagah Wee Inn menyampaikan cenderahati kepada penceramah Jelajah Integriti Siri 7/2023 Daerah Serian, di Hotel Roxy Serian, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Rasuah perlu ditangani secara sistematik, menyeluruh – Roland Sagah

ByHafeezzur Muzamir

SERIAN, 6 April: Rasuah merupakan isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh berikutan ia mendatangkan kerugian besar kepada negara dan Sarawak, tegas Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Jelas Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu, amalan negatif tersebut akan menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kos modal dan program pembangunan yang bakal dilaksanakan kerajaan.

“Memandangkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah merangka Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak negeri yang paling makmur, adalah sangat penting untuk mengekalkan integriti dalam menguruskan sumber dan kekayaan Sarawak.

“Apabila asas kepada integriti itu sudah ada, saya percaya ia akan meningkatkan kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan meningkatkan keyakinan pelabur dan memastikan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan pelabur asing.

“Ini memerlukan kerjasama pada semua peringkat dalam masyarakat untuk mengekalkan integriti, bagi mencapai misi kita untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah Integriti Siri 7/2023 bahagian Serian di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.

Mengulas lanjut, Roland yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, penjawat awam merupakan golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

Justeru itu, beliau berharap unit integriti di agensi kerajaan dan Certified Integrity Officer (CeIO) memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha pembudayaan integriti sama ada dalam agensi kerajaan dan dalam kalangan masyarakat.

“Marilah kita sama-sama memainkan peranan masing-masing secara lebih objektif, konstruktif dan profesional demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

“Penerapan budaya dan nilai-nilai murni perlu dipupuk secara holistik, ia haruslah dimulai dan disulami dengan tindakan pemimpin itu sendiri.

“Tindakan ini mampu melahirkan jiwa kepimpinan yang berintegriti, warga yang bertanggungjawab dan cemerlang dalam semua aspek kehidupan, “ ujarnya.

Selain itu beliau menambah, setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan negara dan negeri amnya melalui integriti & tadbir urus yang baik.

Jelasnya, proses membudayakan integriti serta tadbir urus yang baik memerlukan usaha yang berterusan dan akan mengambil masa yang panjang.

Terdahulu majlis turut menyaksikan, seramai 300 orang peserta program yang terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penjawat awam dan kaunselor hadir menyertai program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Pentadbiran Bahagian Serian itu.

Pengisian program merangkumi integriti dalam pengurusan bantuan kebajikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan mengenai integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Serian merupakan lokasi ketujuh penganjuran program itu selepas Kuching, Lundu, Bau, Balingian, Mukah dan Siburan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan