KUCHING, 6 April: Pua kumbu, selampai, kain burie, tikar rotan dan perhiasan manik merupakan produk kraf tangan dari Sarawak yang popular pada Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain produk itu, bakul rotan dan beg turut menjadi perhatian para pengunjung menerusi pameran 12 hari itu.
“Pameran ini memberi manfaat kepada pengusaha kraf dari Sarawak dengan anggaran kutipan jualan RM49,000,” kata Sarawak Energy Bhd menerusi kenyataan media pada Rabu.
Sarawak Energy membawa enam rakan pengusaha kraf dari Murum, Bakun dan Baleh menerusi Program Pemerkasaan Kraf Tangan ke HKK 2023 yang diadakan di Kompleks Kraf pada 1 Mac hingga 13 Mac.
Lebih manis apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluangkan masa berkunjung ke ruang pameran dan jualan produk kraf tangan yang dihasilkan Selin Gelang, Shenny Asan, Jane Kiong, Connie Hurang, Josefine Midong dan Selin Eram.
HKK 2023 bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ bertujuan untuk mempromosikan produk kraf tangan tempatan.
Ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kraf tangan tempatan dengan menghimpunkan seramai 380 usahawan mewakili pelbagai budaya dari seluruh negara bagi mempamerkan hasil seni mereka.
HKK 2023 turut dikunjungi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing. – TVS