SIBU, 6 April: Peniaga bazar Ramadan yang ‘berputih mata’ susulan ribut di sini petang semalam memusnahkan tapak jualan mereka akan menerima bantuan kanopi baharu hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata bantuan tersebut akan diserahkan beliau bersama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada petang ini.
“Esok sebelum petang (hari ini) saya dan Pemuda PBB akan turun padang bagi menggantikan kanopi yang baharu kepada peniaga bazar Ramadan di Dataran Fasa 2 Tun Tuanku Haji Bujang,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata demikian menerusi satu hantaran video di Facebook rasminya, pada Rabu.
“Pemuda PBB mempunyai stok kanopi yang disimpan untuk disumbangkan kepada para peniaga di sini,” ujarnya.
Namun sekiranya stok kanopi yang disimpan itu ujarnya tidak mencukupi beliau mengarahkan Pemuda PBB untuk mencari bekalan kanopi di sekitar Sibu.
Baca berita berkaitan > > > Jalan Merdeka, Sibu terjejas kejadian pokok tumbang
Menurut beliau, ribut yang membadai bandar itu telah memusnahkan sebanyak 21 kanopi peniaga di bazar Ramadan berkenaan ekoran hujan lebat dan angin kencang yang berlaku lewat petang semalam.
@dr.annuarrapaee Buat peniaga di bazaar Ramadan di Dataran Fasa Dua Tun Tuanku Haji Bujang terutama peniaga yang menggunakan kanopi biru, esok saya dan pemuda PBB akan turun untuk menggantikan kanopi yang rosak akibat ribut petang tadi. Sabar. Terus kuatkan semangat kitak semua untuk terus mencari rezeki! #terusjakkerjakita #DrAnnuarRapaee #Sibu #Ribut #fyp
Menerusi video berdurasi 1 minit 37 saat itu, Dr Annuar turut menitip kata semangat kepada para peniaga bazar berkenaan agar cekal meneruskan perniagaan mereka untuk mencari rezeki memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.
“Ribut petir dijangka melanda kawasan berkenaan sehingga pukul 1 pagi Khamis,” jelas MetMalaysia.
Orang ramai di Sibu yang memerlukan bantuan, boleh menghubungi talian kecemasan APM Sibu 999 atau hotline APM Sibu 084-220044. -TVS