KUALA LUMPUR, 6 April: Cukai barangan mewah yang akan diperkenalkan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023, bukanlah alternatif kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan cukai berkenaan, termasuk struktur percukaian seperti jenis barang yang dikategorikan sebagai barangan mewah, nilai ambang mengenakan cukai tersebut serta kadar terbabit.
“Kaedah pengenaan cukai juga sedang diperhalusi sama ada memperkenalkan cukai baharu atau memperluas skop sistem percukaian sedia ada,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, pada Rabu.
Berikutan itu, Sim berkata MOF sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pengilang, peruncit dan industri pelancongan dalam memastikan cadangan pelaksanaan cukai barangan mewah itu dapat diterima baik oleh semua pihak, mudah dilaksanakan dan tidak memberi kesan negatif ke atas sektor perlancongan dan peruncitan negara.
“Ia diperkenalkan bagi mengenakan cukai ke atas barangan yang dianggap bukan keperluan dan dibeli oleh golongan berkemampuan dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Jelas beliau, prinsip perluasan asas cukai adalah untuk meningkatkan hasil negara tanpa membebankan golongan yang kurang berkemampuan.
Justeru, katanya, kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana sebarang perubahan dasar berkaitan cukai akan memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi, malah ke atas kos sara hidup rakyat.
“Ketika rakyat bergelut dengan pelbagai cabaran kos sara hidup dalam fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19 ini termasuk kadar inflasi, ini bukanlah masa yang sesuai untuk pengenalan semula GST,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga sememangnya menjalankan kajian berterusan dalam meneliti secara menyeluruh satu sistem percukaian yang seimbang, adil dan saksama supaya dapat menyokong dan meningkatkan kutipan hasil cukai negara tanpa membebankan rakyat selain berdaya saing terhadap ekonomi negara.
Menyentuh Belanjawan 2023, Sim berkata ianya menyasarkan bantuan yang lebih strategik, berkesan dan bersasar kepada golongan memerlukan dengan mempertimbang keadaan inflasi dan ekonomi negara.
“Belanjawan 2023 juga bertujuan membina semula golongan (berpendapatan sederhana) M40 yang amat terjejas sejak lebih dua tahun akibat pandemik COVID-19 yang mana pendapatan mereka turun lebih daripada 50 peratus, di samping membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.
Persidangan Dewan Negara pada Rabu telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) tanpa pindaan dengan lebih suara yang bersetuju. – TVS