KUCHING, 5 April: Sinar kegembiraan terpancar di wajah anak-anak dari Baiturrahmah dan Pusat Jagaan Nur Murni (Puteri) Kuching hari ini setelah menerima sumbangan baju raya dan duit raya untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Penyerahan sumbangan kepada mereka iaitu masing-masing 11 dan 28 orang penghuni dua rumah kebajikan berkenaan berlangsung di Majlis Projek Penyerahan Baju Raya kepada Rumah Kebajikan dianjurkan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Komersial bersama rakan strategik di Juma’ani Pavillion di sini, hari ini.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, sumbangan tersebut merupakan antara usaha untuk menyantuni anak-anak yatim di rumah kebajikan di sekitar bandar raya ini.
Inisiatif CENTEXS Komersial itu juga dilihat oleh beliau sebagai tanda sokongan kepada anak-anak yang hilang tempat bergantung itu membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
“Sumbangan ini adalah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial CENTEXS sebagai sebuah institusi yang prihatin dan berperanan dalam membantu masyarakat di sekeliling kami.”
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kanak-kanak di rumah kebajikan dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha dan berjaya dalam hidup,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pengurus kepada kedua-dua rumah kebajikan itu menzahirkan penghargaan kepada CENTEXS Komersial berhubung keprihatinan mereka.
“Kami sangat menghargai sumbangan ini kerana ia membantu kami dalam memberikan perhatian dan kebahagiaan kepada kanak-kanak yang tinggal di sini. Semoga dengan sumbangan ini, kanak-kanak di rumah kebajikan dapat merasakan kehangatan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan terus bersemangat dalam mengejar impian mereka,” kata Pengurus Baiturrahmah, Abdul Rahman Hassan.
Manakala Pengurus Pusat Jagaan Nur Murni Puteri, Raziman Anggas berharap dengan adanya sumbangan itu ia dapat memberi dorongan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap pembelajaran.
Sementara itu, salah seorang penerima, Muhammad Huzaifah Juti, 23, menzahirkan keterujaannya ekoran mendapat sepersalinan baharu untuk Aidilfitri kali ini.
“Saya berasa bersyukur kerana diberikan baju melayu baharu kerana sebelum ini saya menggunakan duit belanja sendiri untuk membeli baju melayu pada setiap perayaan Aidilfitri,” katanya kepada TVS.
Dedahnya lagi, beliau yang memeluk agama Islam pada 2021 telah membelikan baju melayu sendiri dengan menggunakan gajinya yang bekerja sebagai kelindan lori.
“Saya baharu menetap di Baiturrahmah bulan puasa ini dan saya berasa sangat gembira kerana diberi peluang menyambut Hari Raya bersama rakan-rakan lain di pusat kebajikan dengan baju melayu baharu. Jika diberi peluang, saya teringin menyambung belajar di CENTEXS dalam jurusan teknologi kimpalan (‘wielding’),” katanya lagi.
Pendapat serupa bagi salah seorang lagi penerima, Ahmad Daniel Abdullah, sambil mengakui baju melayu yang diterimanya akan memaknakan sambutan Aldilfitri kali ini.
“Saya suka baju raya saya yang baharu ini dan saya akan pakai baju ni masa Hari Raya nanti!,” kata remaja berusia 18 tahun ini.
Berkongsi lanjut, Ahmad menceritakan rentetan hidupnya yang mula menetap di Baiturrahmah sejak empat tahun lalu sambil mendedahkan tidak pernah mendapat baju baharu pada setiap tahun untuk Hari Raya susulan orang tuanya tidak berkemampuan.
“Harapan saya selepas ini, saya teringin menjadi tukang masak profesional. Saya bercadang untuk menyambung belajar di CENTEXS juga dan mengambil bidang kulinari. Antara menu masakan yang saya mahir memasak adalah masakan barat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Marihah Amir,19, yang merupakan penghuni Pusat Jagaan Nur Murni Puteri, berikar akan menabung duit raya yang diperoleh untuk masa hadapan beliau.
“Saya menetap di Pusat Jagaan Nur Murni kerana ibu bapa saya merupakan golongan susah dan tidak mampu menyara saya. Justeru, saya akan menggunakan duit raya untuk menyambung belajar di UiTM,” katanya yang terminat dalam bidang jurusan tekstil dan reka bentuk fesyen.
Terdahulu, majlis menyaksikan CENTEXS membelanjakan sejumlah RM 30,000 untuk membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri untuk anak-anak yang menetap di kedua-dua rumah kebajikan tersebut.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS), Datu Dr. Sabariah Putit, Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri, dan Timbalan Pengarah Akademi Industri CENTEXS, Dr Nadianatra Musa. – TVS